Tuesday 2 January 2018

{TRAVELOG} APA YANG ANDA BOLEH LAKUKAN SEPANJANG 3 HARI 2 MALAM SEPANJANG BERADA DIKUCHING, SARAWAK.

Assakamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera...

Terima kasih kerana anda sudi meluangkan masa untuk membaca travelog ini ya. Okey. pasti anda tertanya-tanya apa aktiviti yang boleh anda semua lakukan sepanjang 3 hari dan 2 malam sekiranya anda bercuti di Kuching. Jom kita tengok selanjutnya...

Hari Pertama (01)

Setibanya anda di Kuching, Sarawak, anda akan mula melangkah di Lapangan terbang antarabangsa Kuching (LTAK). Bagi orang "Malaya" anda perlu kemukakan kad pengenalan dan anda akan diberikan satu slip berwarna putih "pass lawatan sosial". Pastikan anda simpan elok-elok ya, kalau tidak anda tidak dapat keluar, hehehe...

Jika masih awal, rancang perjalanan anda untuk ke Taman buaya Jong di Siburan. Taman buaya terbesar di Kuching ini memiliki lebih kurang 1000 ekor buaya daripada pelbagai spesis dan perjalanan dari Kuching mengambil masa lebih kurang 30 minit. Disini bukan sahaja terdapat buaya malahan terdapat mini zoo yang membolehkan anda melihat pelbagai jenis binatang lain lagi. Waktu paling sesuai ialah sebelum jam 11.00 pagi atau sebelim jam 3.00 petang kerana pada kedua-dua masa tersebut anda akan berpeluang melihat demonstari buaya makan atau "Crocodile Feeding Time". 

Okey, tiket masuk ke taman buaya ini seperti dibawah berkuat kuasa tahun 2018:

Dewasa (Non- Sarawakian) : RM24.00 Seorang
Kanak-Kanak (6-11 Tahun) : RM14.00 Seorang






Selepas itu anda mungkin akan terasa laparkan, jadi selepas itu, anda perlu berpatah balik ke Batu 7 dan ke Serapi Corner untuk makan tengah hari. Restoren ini sering menjadi tumpuan pelancong dan orang tempatan tau, jadi kalau lambat memang anda terpaksa tunggu meja kosonglah. Tapi sekiranya anda ambil pakej dengan mana-mana agensi pelancongan macam kami KHAIMAL Travel & Tours, pakej makan tengah hari dah memang tersedia.



Alhamdulillah, selepas makan tengah hari anda boleh terus ke Masjid  Solahuddin Al Ayubi berdekatan pintu masuk Kem Penrissen. Bolehlah mengerjakan solat dan berehat sebentar. Mesti ada yang tanya kenapa tak check in hotel dahulu. Jawapannya, jika dah check in masing-masing dah rasa selesa lepas tu semua tidur, maka objektif percutian dah lari daripada jadual. hehehe.. Okey. selesai semua tu anda boleh mula bergerak ke Pusat Pemuliharaan orang utan Semenggoh. Jarak ke lokasi ini tidak jauh, lebih kurang 15-20 minit sahaja. Disini anda berpeluang untuk melihat orang utan tanpa ada halangan pagar atau sangkar kerana semua orang utan disini bebas.

Waktu terbaik ialah pada jam 9.00 pagi dan 3.00 petang kerana waktu ini, merupakan waktu "feeding time" mereka.

Tiket Masuk Ke Pusat Pemuliharaan Orang Utan Semenggoh Ialah :

RM5.00 Seorang (Dewasa)
RM3.00 Seorang (Kanak-kanak)




Selesai menyaksikan orang utan, anda bolehlah terus ke Bandaraya Kuching, perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit dan sebaik sahaja tiba disana, anda mulakan penjelajahan anda disekitar tebingan sungai Kuching (Kuching Waterfront). Anda boleh pergi membeli belah barangan cendera hari di sepanjang jalan Main Bazaar dan India Street.

Dalam jam 5.00 petang anda bolehlah cuba menaiki cruise yang ada ditebingan sungai Kuching untuk meyaksikan matahari terbenam "sun set" dan bersiar-siar melihat monumen sejarah peninggalan zaman James Brooke disepanjang persisir sungai. Terdapat dua jenis cruise yang boleh anda pilih mengikut bajet anda ya.

1. Sarawak River Cruise

Harga Tiket : RM65.00 (Dewasa) dan RM35.00 (Kanak-Kanak) Seorang


2. Sarawak Traditional Boat Cruise

Harga Tiket : Rm19.00 (Dewasa) dan Rm9.00 (Kanak-kanak) Seorang



Sebaik sahaja aktiviti anda, sebelum balik dan check in hotel, jangan lupa makan malam dahulu. Saya cadangkan anda ke Kopi O Corner, dan cuba Nasi Goreng Ikan Terubuk Masin Sayur Midin dan Teh C Special. Memang superb !!!.


Tamat hari pertama anda di Kuching, Sarawak.

Hari Kedua (02)

Kebiasaannya pada hari kedua ni anda boleh mula merancang perjalanan sedikit awal ke Pasar Serikin yang terletak di sempadan Malaysia-Indonesia. Buat pengetahuan anda semua, pasar ini lebih kurang sama seperti di Golok, Kelantan dan Padang Besar, Perlis tu hah. Perjalanan mengambil masa lebih kurang satu jam tiga puluh minit dan anda akan tiba di sana. Pesanan : jangan lupa sediakan payung, topi dan minum air sebanyak yang mungkin ya. Yang paling penting jaga keselamatan barang peribadi dan harta benda anda."




Selepas anda semua penat "bershopping" di sepanjang perjalanan itu juga terdapat beberapa tempat yang menarik yang boleh anda lawati sekiranya anda berminat seperti :

- Gua Pari
- Gua Angin
- Tasik Biru



Okey. Untuk makan tengah hari, saya cadangkan anda cari Siti Cafe & Catering yang terletak di Pekan Bau. Kedai mereka berhadapan dengan Kolej Komuniti Mas Gading. Disini mereka menawarkan pelbagai jenis lauk pauk masakan tempatan seperti udang galah, ayam pansuh dan sebagainya. Rasanya anda cuba dahulu baharu tau..



Selepas itu, dalam perjalanan anda untuk pulang ke Kuching, jangan lupa singgah ke Sarawak Pottery Factory atau Kilang Pasu Sarawak yang terletak di batu 8. Nama kedai Top Deco. Selain daripada anda dapat membeli pasu yang berkualiti anda juga berpeluang untuk melihat proses pembuatan pasu dan pembakaran pasu di bahagian belakang kedai ini. Menarik bukan?..

Opss.. anda juga boleh melawat 3D Borneo House Museum yang terletak di pekan Batu 7. Galeri ini mempamerkan hasil seni dan lukisan dinding berdimensi 3D khasnya daripada pelukis tempatan. Jika berpeluang ke sini jangan lupa kunjungi ya. 

Harga Tiket : RM19.00 Seorang (Dewasa) dan Rm15.00 Seorang (Kanak-kanak)



Okey. Penutup hari kedua ni bolehlah anda pergi mencuba makanan laut pula. Saya cadangkan anda ke Top Spot Seafood Bukit Mata, yang terletak ditingkat atas Bangunan UTC Kuching. Gerai yang saya cadangkan ialah Gerai No 25 Bukit Mata. Disini ibarat syurga buat pengemar makanan laut, mana tidaknya, dengan pelbagai jenis makanan laut anda boleh dapati dan nikmati dengan harga yang murah. Tak percaya? Cubalah sendiri.






Hari Ketiga (03)

Merupakan hari yang terakhir. Sebaiknya anda kemas dan check out siap-siap daripada hotel ya. Sebelum ke destinasi berikutnya janganlah sesekali anda lepaskan peluang untuk bergambar dengan ikon utama ditengah bandaraya Kuching ini. Tak lain dan tidak bukan ialah , The Cat Statue dan The White Big Cat Statue di jalan Padungan.



Berikutnya anda bolehlah terus ke Kampung Budaya Sarawak yang terletaknya di Santubong. Jarak daripada Kuching ialah lebih kurang 30 hingga 45 minit  dan anda akan melalui kawasan Gunung dan muara sungai Santubong. Kampung Budaya Sarawak atau Sarawak Cultural Village merupakan 'muzium hidup' yang mana didalamnya terdapat 7 buah rumah etnik di Sarawak. Selain itu, anda juga berpeluang untuk melihat persembahan kebudayaan yang akan berlangsung di Dewan Teater.

Harga Tiket Masuk : RM60.00 Seorang (Dewasa) dan RM30.00 Seorang (7-11 Tahun) Tidak termasuk 6% GST





Selepas itu anda boleh berkunjung ke Muzium Kucing atau Cat Museum yang terletak di bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan masuk adalah PERCUMA. Selepas itu juga anda bolehlah melawat Taman Orkid DBKU, ASTANA, dan jangan lupa 'the new signature' Jambatan Darul Hana ya. Dari situ juga anda boleh terus ke Fort Magherita kerana didalamnya kini terdapat Galeri Brooke. Tiket masuk ke galeri tersebut hanya RM10.00 bagi dewasa dan RM5.00 bagi kanak-kanak.




Akhir sekali, tidak lengkaplah percutian anda ke sini jika tidak singgah dan membawa pulang kek lapis dan ikan terubuk sebagai buah tangan ke sana. Anda boleh ke Kampung Gersik kerana disana terdapat beberapa kedai yang menjual kek lapis dan antara yang terkenal ialah Dayang Salhah Kek Lapis dan Mira Cake House.

Selain itu, terdapat juga beberapa kedai yang menjual ikan terubuk yang murah dikawasan berkenaan. "Pandai kecek buleh la bare muroh" orang kampung saya cakap. hahaha..




Okey. Maka genaplah 3 hari anda bercuti di Kuching, Sarawak. Penuhkan jadual? Opss.. sementara anda dalam perjalanan ke lapangan terbang jangan lupa singgah satu lagi pusat jualan produk tempatan, Sin Piao.

Kat sini kalau anda pengemar lada hitam atau produk-produk seperti minyak kelapa dara, sarang burung dan sebagainya, disini adalah tempat yang sesuai untuk anda lawati sebelum balik ya.



Okey. maka lengkaplah 3 hari dan 2 malam anda di Kuching, Sarawak. Sebenarnya ada beberapa aktiviti yang lain lagi anda dapat lakukan di sini. Tetapi bergantung kepada matlamat dan tujuan anda serta bajet anda sepanjanng berada di Kuching. Okey itu sahaja. Terima kasih dan jumpa lagi.


KHAIMAL Travel And Tours Sdn Bhd
(1237072-V)(KPK/LN:8734)(MA5644)
No Telefon : +6019 714 3934

Jangan Lupa Like Facebook Page Kami Ya : https://www.facebook.com/KhaimalTravelOfficial














1 comment:

  1. Salam singgah..Alhamdulillah makin banyak info tentang percutian ke Sarawak.

    ReplyDelete